Tuesday, March 25, 2014

PERMAINAN TRADISIONAL DI MALAYSIA

Masyarakat berbilang kaum di Malaysia mempunyai pelbagai jenis kebudayaan yang digarap daripada pelbagai keturunan. Kebudayaan ini disatukan menjadi satu kebudayaan yang unik kerana hampir setiap keturunan mempunyai adat sehingga membentuk kebudayaan masing-masing. Ini termasuklah suka bergotong-royong menjalankan kegiatan ekonomi, di mana ikatan itu terus diperkukuh dan dipererat dengan acara-acara keramaian dan juga hiburan. Lantaran resam yang demikian maka banyak permainan tradisional yang dipertandingkan.

Permainan tradisional telah berupaya membentuk sebahagian daripada kehidupan yang dilalui oleh nenek moyang masyarakat masing-masing. Asas penting yang menjamin kesinambungan permainan tradisional pada masa lalu ialah keseragaman cara hidup nenek moyang kita. Malah sejak dari kecil lagi mereka membiasakan diri dengan keadaan yang demikian. Ada di antara permainan ini yang sekarang tidak dimainkan lagi tetapi hanya diketahui oleh ibu bapa dan datuk nenek kita sahaja. Tetapi ada juga yang masih dimainkan lagi oleh kanak-kanak sehingga hari ini. Di antara permainan itu termasuklah congkak, wau, selambut, sepak raga, gasing, kabaddi, mahjong, dan lain-lain.


SEPAK RAGA 


Permainan sepak raga telah sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka. Pada masa itu permainan ini dimainkan oleh golongan bangsawan.Rakyat Biasa juga menggemari permainan ini. Pada masa sekarang sepak raga lebih dikenali dengan nama sepak takraw. Ia bukan hanya dimainkan oleh orang Melayu sahaja tetapi bangsa-bangsa lain, malah telah dikenali di seluruh. Bola sepak raga diperbuat daripada bilah-bilah rotan yang dianyam bulat seperti raga sebesar isi buah kelapa dua atau tiga lapis.Permainan ini dimulakan dengan salah seorang pemain melambung bola kepada rakannya dengan tangan. Rakannya itu akan menimang bola itu dengan kakinya sekali atau beberapa kali, sebelum menendangnya ke arah pemain lain. Pemain-pemain yang membentuk lingkungan atau bulatan itu mestilah bergilir-giliran menimang bola itu dan mengawalnya supaya tidak jatuh ke bumi. Jika bola itu jatuh, permainan dalam pusingan tersebut ditamatkan.


BATU SEREMBAN


Batu Seremban juga dikenali sebagai permainan Selambut atau Serembat. Sering dimainkan di waktu lapang.Permainan ini dimainkan oleh kanak-kanak perempuan sama ada secara individu atau berpasangan. Ianya dimainkan secara berkumpulan seramai dua hingga empat orang atau lebih.Biasanya ia menggunakan guli kaca, biji getah, ketul batu yang kecil atau ketulan-ketulan objek lai berbentuk bulat. Bilangan yang biasa digunakan sebanyak lima biji. Objek-objek ini dikenali sebagai buah Dalam bermain Batu Seremban ini terdapat beberapa peringkat atau cara sambutan buah yang berlainan. Bermula dengan peringkat pertama yang mudah dengan menggunakan sebiji buah yang dinamakan sebagai buah satu hinggalah kepadaperingkat lebih tinggi atau peringkat yang teratas dinamakan buah tujuh.


MAHJONG



Mahjong atau mahjung merupakan permainan untuk empat orang yang berasal dari China. Mahjong membabitkan kemahiran, strategi, dan pengiraan, termasuk juga satu tahap nasib. Bergantung kepada variasi yang dimainkan, nasib boleh menjadi isu remeh atau faktor utama kejayaan. Di Asia, mahjong juga popular sebagai perjudian dan sebagai permainan komputer.


GO


Go ialah permainan berpapan yang dimainkan oleh dua orang. Go juga dikenali sebagai wéiqí di dalam bahasa China. Permainan ini kaya dengan strategi yang kompleks tetapi hanya mempunyai undang-undang permainan yang mudah. Go hanya menggunakan biji-biji berwarna hitam dan putih.


XIANG QI



Xiangqi merupakan sebuah permainan papan cina yang dimainkan oleh dua orang pemain. Xiangqi berada dalam keluarga yang sama dengan catur. Xiangqi bentuk kini berasal dari China, oleh itu ianya digelar sebagai Catur Cina. Permainan ini didapati telah mula dimainkan seawal abad ke-4 selepas Masihi di China. Xiangqi merupakan salah satu permainan papan yang paling popular di dunia. Ciri-ciri yang unik termasuklah pergerakan unik pao (meriam), peraturan yang melarang panglima (seperti "raja" dalam catur) daripada bertemu dalam garisan yang sama, serta "sungai" dan "istana" yang mengehadkan pergerakan sesetengah buah catur.


YO-YO CINA



Yo-yo cina ialah permainan dari China yang mempunyai dua cakera yang sama saiz yang dihubungkan oleh gandar yang panjang. Yo-yo cina akan sentiasa berpusing pada tali yang diikat pada dua batang kayu kecil. Pemain akan memegang hujung kedua-dua kayu dan mengimbangi yo-yo daripada jatuh. Permainan ini dikenal pasti telah wujud sejak Dinasti Ming sekitar tahun 1386 hingga tahun 1644 selepas Masihi. Yo-yo cina tradisional dibuat daripada buluh, dimana ianya mudah patah dan tidak sesuai untuk aksi-aksi lasak. Sesetangah yo-yo cina dimasukkan alat yang menghasilkan bunyi apabila dipusingkan dengan laju. Bunyi ini membolehkan pemainnya mengimbangi kelajuan yo-yo.


KHO-KHO

'Kho-kho' merupakan satu permainan tradisional yang popular di kalangan kaum India. Permainan yang berasal dari Maharashtra ini pada mulanya dimainkan menggunakan kereta kuda. Kebanyakan ahli sejarah India mengatakan bahawa Kho-Kho merupakan hasil pengubahsuaian daripada satu permainan 'Lari dan kejar' di mana seorang pemain akan berlari dan mengejar serta menyentuh pemain lain. Permainan kho-kho ini memerlukan kecergasan fizikal pemain serta pergerakan yang fleksibel untuk megelak peserta-peserta lain.
Bagi permainan kho-kho, setiap kumpulan boleh mempunyai 12 pemain.Namun, hanya 9 daripadanya akan bermain bagi satu perlawanan. Terdapat 2 giliran dalam permainan kho-kho ini. Setiap giliran diperuntukkan selama 7 minit untuk acara lari dan kejar. Bagi kumpulan pengejar (chaser), 8 pemain akan berada di tengah setiap 8 kotak yang terdapat di padang permainan. Setiap 8 peserta ini akan duduk dalam kedudukan yang bertentangan secara berselang-selang. Manakala, pemain yang kesembilan akan bertindak sebagai pengejar. Sasaran bagi setiap pengejar ialah menyentuh pemain lawan dengan menggunakan tapak tangan. Pemain lawan akan tersingkir apabila pengejar menyentuhnya dengan tapak tangan tanpa melakukan "foul", pemain lawan telah melebihi had garisan dengan sendirinya ataupun lambat sampai ke had garisan. Pengejar boleh menukar giliran mengejar dengan menyentuh ahli pasukannya yang lain sambil berkata "Kho Kho". Pemain yang disentuh kemudiannya akan menjadi pengejar dan begitulah seterusnya. Bagi setiap 2 giliran terdapat 5 minit masa rehat diberikan. Bagi permainan 'Kho-Kho' ini, keluasan petak padang yang diperlukan ialah 27mX15m.


CHATURANGA


Asal-usul catur modern semula dikenal dengan nama Charuranga, yang berkembang di India pada abad ke-6. Sejak awal permainan ini sudah memperkenalkan dua pihak yang bermain, perbedaan buah catur dengan kekuataan yang berbeda, dan kemenangan tergantung pada buah terakhir, atau dalam catur modern ditandai dengan tumbangnya sang raja. Dalam catur kuno, papan catur memiliki 100 kotak atau malah lebih.

Pada awal abad 19, sebuah pendapat disampaikan Kapten Hiram Cox dan Duncan Forbes bahwa dulu catur dimainkan 4 orang sekaligus, termasuk empat pemain dalam chaturanga.

Dalam terminologi sanskrit, "Chaturanga" berarti "memiliki empat bagian" dan dalam puisi epos kepahlawanan kata itu juga berarti "tentara." Nama itu sendiri bersumber dari sebuah formasi pertempuran dalam epos Mahabrata yang terkenal di India. Chaturanga adalah sebuah simulasi permainan perang guna memperlihatkan kekuatan strategi militer India saat itu.

Ashtāpada, kotak 8 x 8 di sebuah papan merupakan tempat bermain Charuranga. Papan lain yang dikenal di India adalah Dasapada 10 x 10 dan Saturankam 9 x 9.

Ilmuwan Arab Abu al-Hasan 'Alī al-Mas'ūdī memberi rincian tentang penggunaan catur yakni sebagai sebuah alat strategi militer, matematik, perjudian dan terkadang dihubungkan dengan ramalan nasib di India dan tempat lainnya. Catatan Mas'ūdī juga menunjukkan Ivory di India merupakan daerah produsen alat permainan catur untuk pertama kali, menyebarkan serta memperkenalkan permainan ini dari Persia ke India semasa Kerajaan Nushirwan.

Kemudian terjadi evolusi pada permainan chaturanga yang dikenal dengan nama Shatranj (chatrang), yakni sebuah permainan dua orang pemain yang kekalahan dan kemenangan ditentukan melalui pembersihan terhadap semua bidak lawan (kecuali raja) atau melalui penaklukan terhadap raja lawan. Posisi pion dan kuda tidak berubah, tapi bidak lain mengalami perubahan bentuk.


KABADI

Kabadi ialah sebuah permainan yg dibentuk dalam permainan tradisional India. Permainan ini sangat terkenal di Selatan Asia dan tersebar dengan meluas di Tenggara Asia, Jepun, dan Iran. Ia adalah permainan bangsa Bangladesh dan juga meluas di Tamil Nadu, Andura Pradesh, Punjab dan Maharasutran di India. Kabadi juga dimainkan oleh tentera British untuk tujuan hiburan, menjaga kemantapan badan dan juga untuk mengumpan tentera askar dan komuniti Asia British. Dalam satu permainan, 2 pasukan dibentuk yang mana terdiri daripada tujuh pemain. Gelanggang yang digunakan adalah 12.5m x 10m (separuh daripada gelanggang bola keranjang). Setiap pasukan mengandungi pemain simpanan seramai 5 orang. Permainan ini dilangsungkan selama 20 minit, dengan 5 minit setengah untuk rehat semasa pertukaran gelanggang. Satu pasukan akan menghantar penyerang kepada pasukan pihak lawan, yang mana bertujuan untuk menyentuh salah seorang daripada pemain pihak lawan sebelum patah balik kepada pasukannya. Pemain yang telkah disentuh akan terkeluar dan meninggalkan padang. Sementara itu, pihak pertahanan membentuk sebuah rantai seperti berpegangan tangan antara satu sama lain. Jika rantai itu terputus, salah seorang pemain pertahanan akan meninggalkan padang. Sasaran pertahanan adalah untuk menghentikan penyerang balik ke pasukannya sebelum berhenti berehat. Jika penyerang berhenti sebelum sampai ke destinasi, penyerang itu akan meninggalkan padang. Pemain juga boleh melepasi sempadan garisan atau bahagian bdn mencecah tanah di luar garisan, kecuali semasa bergelut dengan pasukan pihak lawan. Setiap pemain yang terkeluar, pihak lawan akan mendapat mata. Pasukan yang skor dua mata bonus, yang dipanggil lona, manakala semua pihak lawan akan tersingkir. Pada akhir perlawanan, pasukan yang mengumpul mata tertinggi akan menang. Permainan adalah berdasarkan kesesuaian umur dan berat. Permainan ini terdiri daripada satu pengadil, dua pembantu pengadil, satu penjaring dan dua pembantu penjaring.


CONGKAK



Congkak merupakan sejenis permainan tradisional Melayu. Permainan ini telah wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi, tetapi tidak pasti asalnya, samada pengaruh luar telah datang bersama pedagang atau sememangnya telah dicipta oleh orang Melayu ketika itu. Permainan congkak dipercayai berasal daripada dunia Afrika atau Arab, bergantung kepada teori mana yang anda percayai. Bagaimanapun, bukti tertua yang dijumpai oleh cari gali purba yang dibiayai oleh Persatuan National Geographic menjumpai kepingan batu kapur yang mempunyai dua liang selari bertarikh semenjak 5000 hingga 7000 SM di masa kini Jordan.

Dalam permainan tradisional ini, alatan yang digunakan adalah papan congkak dan buah congkak. Kadang-kadang sebagai ganti papan congkak, lubang-lubangnya dibuat di atas tanah. Sementara biji-biji congkak pula ialah guli-guli kaca, buah getah, biji saga, batu-batu kecil dan sebagainya. Setiap papan congkak hanya boleh dimainkan oleh dua orang sahaja. Papan congkak mengandungi 14 lubang yang dipanggil "kampung". Terdapat dua lubang besar di setiap hujung papan congkak. Lubang ini dipanggil "rumah". Panjang papan congkak tujuh lubang biasanya sekitar 80 cm dan lebanya 18 cm. Papan congkak lazimnya dibuat dari kayu hutan seperti merbau, keruing, balau dan sebagainya. Terdapat juga papan congkak yang dibuat dari kayu rambutan, nangka dan sebagainya, mengikut kemampuan si tukang pembuat congkak.
Cara-cara bermain permainan ini ialah dua orang pemain duduk berhadapan menghadap papan congkak dan kedua-dua pemain akan mula dengan serentak. Mereka akan memasukkan buah satu demi satu di dalam lubang kampung dengan pergerakan dari kanan ke kiri hingga ke rumah dan kampung lawan. Gerakan diteruskan hingga buah yang terakhir pada tangan dimasukkan dalam kampung kosong di kawasan sendiri atau lawan dan pemain hendaklah berhenti, sekiranya buah itu jatuh atau mati di kampung sendiri. Pemain itu boleh menembak kampung lawan yang setentang dengan kampungnya iaitu mengaut kesemua buah (jika ada) di dalam kampung tersebut. Pihak lawan mengambil giliran meneruskan permainan hingga buahnya mati. Sekiranya buah terakhir jatuh di dalam rumah sendiri, pemain boleh meneruskan permainan dengan mengambil buah yang masih banyak di mana-mana kampung sendiri. Sekiranya buah terakhir jatuh di kampung kosong pihak lawan, maka permainan itu mati di situ sahaja dan pihak lawan boleh memulakan permainan seterusnya hingga mati. Setelah tamat pusingan pertama, setiap pemain mengisi semula kampung dengan buah congkak dan jika ada kampung yang tidak cukup buah, ia dianggap terbakar. Kampung ini tidak boleh diisi apabila bermain pada pusingan yang kedua, ketiga dan seterusnya hingga pihak lawan mengaku kalah.

GASING


Gasing popular di Pantai Timur Semenanjung Malaysia terutama di Kelantan. Terdapat pelbagai jenis gasing di Malaysia seperti gasing jantung, gasing piring atau leper, gasing kelamar, gasing telur, gasing berembang, gasing Melayu, gasing Cina, gasing buku benang dan gasing pinang. Kanak-kanak lebih gemar dengan gasing Melayu dan Cina, kerana saiz yang kecil dan mudah dipermainkan.

Gasing dimainkan dengan dua cara, iaitu sebagai gasing pangkah atau gasing uri. Gasing pangkah, dimainkan dengan melemparkannya supaya mengetuk gasing lawan. Gasing uri dipertandingkan untuk menguji ketahanannya berpusing.

Gasing pinang pula dimainkan oleh kanak-kanak. Buah pinang muda dikupaskan sabut dan kulitnya, dipangkaskan bahagian atas dan bahagian bawahnya, kemudian dicucukkan lidi buluh melalui pulurnya menjadi paksi serta pemegang gasing itu.

Gasing ini boleh dilagakan atau diurikan.Untuk memusingkan gasing, tali setebal 1.75 cm dan sepanjang 3 hingga 5 meter dililitkan pada jambulnya hingga meliputi seluruh permukaan gasing. Kemudian gasing itu dilemparkan ke atas tanah dan serentak dengan itu tali yang melilit jambuhnya direnggut.

WAU


Permainan wau ini juga dikenali dengan layang-layang.Permainan wau amat digemari oleh penduduk-penduduk kampung. Permainan ini dimainkan sejak kurun ke 15. Wau masih digemari dan dimainkan di kawasan-kawasan seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Wau dicipta dalam pelbagai bentuk dan mempunyai nama tersendiri seperti wau burung, wau pari, wau katak, wau bayan, wau merak, wau kucing, wau jala budi, wau lenggang kebayan, wau sewah dan wau barat. Begitupun wau bulan sangat digemari oleh orang Melayu. Reka corak biasanya bermotifkan awan larat akan menghiasi kebanyakan wau yang dihasilkan dan diwarnakan dengan pelbagai warna. Selain dijadikan bahan permainan, wau juga menjadi hasil kraftangan dan hiasan dinding

Pada kebiasaannya wau akan dimainkan oleh dua orang iaitu seorang akan memegang wau dan seorang lagi yang dipanggil juru anjung akan memegang tali. Apabila angin bertiup maka tali akan ditarik melawan arus angin dengan cara menghulur dan menarik talinya sehinggalah wau tersebut tinggi di udara. Kilauan cahaya matahari akan menambah cantik lagi wau yang berwarna-warni itu.

GULI



Guli adalah sejenis bola kecil yang biasanya diperbuat dari kacatanah liat atau akik. Ia biasanya dimainkan oleh kanak-kanak. Guli juga boleh digunakan dalam sesetengah permainan lain, contohnyacongkak. Ramai juga yang mengumpul guli, sama ada untuk nostalgia atau warna estetiknya.
Permainan guli biasanya melibatkan lontaran guli dengan tepat mengenai sasarannya. Ia biasanya dimainkan oleh kanak-kanak lelaki berumur antara tujuh dan dua belas tahun.
Jumlah pemain tidak melebihi lima orang.  Kawasan tanah rata dan lapang adalah gelanggang yang sesuai untuk tempat bermain guli.
Biji guli yang digunakan untuk permainan ini adalah jenis guli yang diperbuat daripada batu kpaur, berwarna putih dan sebesar ibu jari kaki.


TENG TENG



Permainan Teng-Teng, atau juga dikenali sebagai Ketinting ialah permainan yang selalunya dimain oleh kanak-kanak perempuan. Ini kerana, teng-teng tidak begitu lasak walaupun ia menggunakan tenaga yang banyak. Teng-teng juga tidak memerlukan daerah yang besar.
Teng-teng dimainkan oleh sekumpulan kanak-kanak dimana ada dua hingga empat orang didalam sebuah gelanggang. Ini kerana, tiada peraturan yang tetap untuk jumlah orang di dalam satu gelanggang. Tetapi, jika terdapat empat pemain didalam satu gelanggang, ia akan memdatangkan kesukaran untuk setiap pemain untuk berteng-teng.
Gelanggang teng-teng ialah lukisan petak-petak di atas tanah. Terdapat sembilan petak-petak di dalam satu gelanggan. Selain gelanggan, pemain juga perlu gundu. Gundu ialah satu objek yang menandakan kedudukan mereka di petak-petak gelanggang.

Permainan merupakan satu aktiviti rekreasi sama ada untuk mendapat keseronokan, mengisi masa lapang
ataupun bersenam. Ia boleh dilakukan berseorangan ataupun secara berkumpulan. Permainan biasanya mempunyai peraturan yang perlu diikuti semua orang. Adat bermain, ada yang menang dan ada yang kalah, ataupun seri. Permainan yang melibatkan aktiviti fizikal biasanya dipanggil sukan. Permainan masih diadakan sehingga kini tetapi terdapat perbezaan antara permainan dahulu dan permainan sekarang. Perbezaan permainan dahulu dan permainan sekarang akan dibincangkan selepas ini.
Permainan-permainan dahulu seperti permainan Wau, tarian Naga atau permainan gasing mempunyai ciri-ciri kesenian yang melambangkan keindahan dan keharmonian rakyat di Malaysia. Aktiviti ini kebiasaannya akan dilakukan secara berkumpulan dimana mereka mempunyai minat yang sama. Masing-masing akan berkongsi tenaga, pendapat, dan masa semata-mata untuk memastikan aktiviti seperti ini dapat dilaksanakan. Manakala bagi permainan sekarang, biasanya adalah permainan komputer yang tidak melambangkan apa-apa dan tidak perlu dilakukan oleh sekelompok manusia serta tidak dapat mengeratkan hubungan antara manusia seperti permainan dahulu. Selain itu, permainan komputer akan menyebabkan ketagihan di kalangan pemain. Pemain yang terlalu ketagih kepada permainan tersebut tidak akan mempedulikan kesihatan mereka, tidak makan atau tidur semata-mata untuk bermain permainan tersebut.
Permainan dahulu biasanya bersifat harmoni berbeza dengan permainan sekarang yang berunsur ganas seperti permainan-permainan komputer seperti counter strike yang bersifat ganas yang mendapat sambutan hangat daripada golongan remaja lelaki. Ini dengan secara tidak langsung akan mencemarkan minda golongan orang muda zaman ini.

KESIMPULAN
Kemajuan teknologi telah membuatkan hilangnya warisan yang dulunya sangat dibanggakan. Tetapi, adakah kita sedar yang sebenarnya permainan tradisional yang kita warisi sejak dulu lagi semakin lama semakin dilupakan dan hilang bersama dengan peredaran zaman. Yang sedihnya ada dikalangan anak muda sekarang tidak mengenali permainan-permainan tradisional tersebut seperti congkak, layang-layang, gasing, wau dan sebagainya. Banyak faedah yang boleh diperolehi dari permainan tradisional seperti boleh mengeratkan silaturahim sesama manusia, menyihatkan badan kerana mengeluarkan peluh dan dapat memelihara warisan budaya zaman berzaman. Selain itu, Negara dapat mempromosikan permainan tersebut sebagai salah satu aktiviti yang perlu diperkenalkan kepada pelancong-pelancong yang datang ke Malaysia. Ia juga akan menjadi kebanggaan rakyat Malaysia sendiri. Malangnya anak Malaysia tidak memikirkan tentang perkara tersebut mereka hanya inginkan keseronokan dan mengikuti segala perubahan teknologi terkini sehigga melupakan warisan yang perlu dijaga juga. Oleh itu, remaja boleh mengikuti dan meneruskan permainan berteknologi tapi pada masa yang sama masih lagi memelihara dan pertahankan warisan nenek moyang….


No comments:

Post a Comment